Definisi
Definisi Peapatah
Pepatah ialah peribahasa yang berangkap dan terdapat pengulangan kata di dalamnya. Pepatah juga digunakan untuk menyatakan penegasan, falsafah, atau pengajaran yang hendak disampaikan. Pepatah merupakan susunan bahasa yang menjadi sebutan yang berkaitan dengan sesuatu peristiwa kehidupan masyarakat sehari-hari. Pepatah berasal daripada adat resam. Berfungsi sebagai pedoman dalam kehidupan bermasyarakat dan bentuknya berkerat-kerat atau berpatah-patah. Ada juga yang menyatakan pepatah adalah kalimat-kalimat yang dapat mematahkan dan mengiaskan sesuatu keadaan dalam kehidupan masyarakat. Menurut Rubiah Aksah (2005:174), pepatah ialah ungkapan yang berasal daripada pusaka adat resam Melayu
Definisi Bidalan
Bidalan ialah kata-kata yang sering disebut dan mempunyai nasihat serta pengajaran di dalamnya (Kamus Dewan). Bidalan juga merupakan sejenis peribahasa yang memaparkan unsur nasihat, pedoman, atau pengajaran kepada masyarakat dalam bentuk ungkapan yang ringkas. Bidalan juga membawa maksud yang tidak sama dengan maksud perkataan yang digunakan. Bidalan mempunyai maksudnya yang tersirat di sebalik susunan kata-kata yang membentuknya. Bidalan tidak mengandungi sesuatu kata yang tertentu seperti perumpamaan. Bidalan juga merupakan ungkapan yang menjadi panduan nilai sosial, mengandungi teladan dan nasihat. Abdullah Hassan menyatakan bahawa bidalan adalah sebuah peribahasa yang berfungsi untuk memberi nasihat kepada seseorang.
Sejarah
Pepatah dan bidalan Melayu bermula sebelum orang-orang Melayu pandai menulis dan membaca. Pepatah dan bidalan Melayu dikatakan berasal daripada orang Minangkabau. Ada juga yang menyatakan peribahasa ini berasal daripada orang Riau Sumatera. Sebelum orang-orang Melayu pandai menulis dan membaca, mereka telah dididik melalui peribahasa termasuk pepatah, bidalan, perbilangan, perumpamaan, dan simpulan bahasa. Peribahasa merupakan gubahan bahasa yang tersusun dengan perkataan-perkataan yang indah serta mengandungi kata-kata nasihat dan petua. Lantas, peribahasa ini disampaikan dengan gaya dan cara yang menarik. Selain berfungsi untuk nasihat, peribahasa juga mencerminkan keseluruhan kehidupan masyarakat Melayu.